Ramadhan tiba lagi. Inilah masanya untuk berubah, masa untuk perbaiki hubungan dengan Allah serta hubungan sesama manusia.
Menyentuh berkaitan hubungan dengan Allah, mari hayati firman Allah yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (surah al-Baqarah: 183)
Takwa dari segi bahasanya takut kepada Allah manakala dari segi istilahnya lebih luas daripada itu. Puasa itu sendiri mendidik seseorang individu agar bertakwa kepada Allah. Seseorang individu boleh sahaja makan dan minum tatkala tiada sesiapa melihatnya, tetapi kerana sifat takwalah seseorang individu itu tetap dengan puasanya.
Sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis qudsi, Rasulullah saw bersabda:
“Firman Allah Ta’ala: Tiap-tiap amal anak Adam untuknya kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Aku akan memberi balasan dengannya. Dan puasa itu perisai, maka apabila seorang kamu berpuasa janganlah ia memaki-maki, mencarut-carut dan janganlah dia menghiruk-pikukkan; maka jika dia dimaki oleh seorang atau hendak dibunuhnya, hendaklah ia katakan: aku ini berpuasa.” (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)
Bersempena dengan Ramadhan yang mulia ini juga, pihak sekolah sekali lagi mengadakan Majlis Berbuka Puasa & Solat Hajat 2010. Program yang saban tahun diadakan ini bukan sahaja bertujuan untuk memeriahkan Ramadhan bahkan untuk mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dan pihak ibubapa.
Berikut ialah tentatif program tersebut:
5.00 ptg : Ketibaan tetamu
6.00 ptg : Bacaan Yaasin
: Zikir Munajat
: Tazkirah ringkas
7.00 mlm : Persiapan & berbuka puasa
7.45 mlm : Solat Maghrib & Solat Hajat
: Solat Isya’
: Solat Tarawikh
9.30 mlm : Tazkirah Ramadhan
10.00 mlm : Moreh & Bersurai
Dan majlis ini bakal diserikan oleh tetamu istimewa, Imam Muda Asyraf. Harapan sekolah, kedatangan beliau bukan setakat memberi tarikan kepada majlis bahkan bakal menyuntik semangat anak-anak SRICU untuk menjadi seperti beliau.
Marilah kita semua memeriahkan Ramadhan ini dengan sebaiknya.
Baihaqi meriwayatkan dari hadith Ibnu Mas’ud :
“Dan pada setiap berbuka pada bulan Ramadhan ,
maka pada setiap malamnya Allah akan
membebaskan 60,000 orang dari api neraka
dan apabila hari Raya Idul Fitri,maka Allah akan
membebaskan sejumlah orang selama sebulan
Ramadhan itu, iaitu 60,000 x 30 .”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan